KALAU MAT INDERA HERO, KIYAI SALLEH ITU SIAPA?
Saya berasa sangat terharu dengan kesungguhan PAS untuk menobatkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.Saya faham kenapa PAS perlu berbuat begitu. Mempertahankan Mat Indera bermakna mempertahankan Mat Sabu.
Tetapi saya terpanggil untuk memberikan sedikit pendapat berhubung isu ini.
Saya cuma hendak bertanya satu perkara sahaja, jika Mat Indera itu diangkat sebagai hero, di manakah pula kita hendak meletakkan Panglima Salleh Selempang Merah (Haji Salleh Abdul Karim), tokoh terkenal dari Batu Pahat itu.
Panglima Salleh atau Kiyai Salleh diketahui sebagai pemimpin Melayu unggul yang memimpin orang-orangnya melindungi warga Batu Pahat dan kawasan sekitar daripada keganasan pengganas. Dengan hanya bersenjatakan parang panjang dan amalan Ayat Empat, Haji Mohd Salleh telah memimpin masyarakat setempat untuk menggempur kubu-kubu PKM di Bukit Berdiri dan Bukit Alam, Parit Sulong, di Parit Lubok, Semerah, di Kangkar Senanga, dan di Ayer Kuning, Bakri, Muar.
Ketika itu PKM bermaharajalela. Mereka tidak memilih mangsa. Sesiapa sahaja yang enggan menyokong dan memberi kerjasama dijadikan sasaran. Ditangkap, diseksa dan dibunuh. Kediaman mereka pula dibakar.
Dalam sejarah Panglima Salleh yang pernah saya baca, ada disebut bahawa antara gerila-gerila komunis itu terdapat orang-orang Melayu. Dan antara nama yang disebut, walaupun secara sekali lalu ialah Mat Indera.
Mat Indera dikatakan pernah cuba menyerang Mukim Empat, tetapi gagal. Kemudian dia menjadikan Pagoh sebagai sasarannya, tetapi gagal juga. Ini bermakna selain rumah pasung Bukit Kepong, Mat Indera pernah melakukan serangan di tempat lain. Kalau dia bukan pengganas, apa perlunya dia berbuat demikian. Sasarannya di Mukim Empat dan di Pagoh bukanlah mata-mata yang makan gaji dengan British (sebagaimana disebut Mat Sabu), tetapi orang awam.
Panglima Salleh dan orang-orangnya terpaksa bekerja keras mempertahankan orang kampung daripada gerombolan ini. Dan mereka bukan kakitangan British. Mereka melakukannya atas rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan orang-orang yang tidak berdosa daripada keganasan Bintang Tiga. Tiada siapa membayar gaji mereka.
Katakanlah Panglima Salleh tidak pernah pun memburu Mat Indera dan Mat Indera pula tidak mengganggu Panglima Salleh, namun ia tidak mengubah satu hakikat: bahawa Mat Indera itu mempunyai kaitan dengan komunis, manakala Panglima Salleh pula sangat anti-komunis.
Jadi lagi sekali saya ulangi soalan tadi; kalau Mat Indera itu hero, apakah gelaran yang patut kita beri pada Panglima Saleh? Adakah dia seorang penjahat kerana menentang seorang hero?
No comments:
Post a Comment